PBI Mengalu-alukan Kunjungan Pensyarah Politeknik Muadzam Shah ke UMK

Pada 25 Oktober 2020, PBI menerima kunjungan dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang bagi sesi Lawatan Penanda Aras Kursus Umum dan Wajib Universiti. Delegasi PMS seramai 6 orang dipimpin oleh En. Mohd. Shahkri b. Jusoh, Ketua Jabatan Pengajian Am PMS dan Ustaz Mohd Taha b. Rulam Ahmad, Pengerusi Pusat Islam PMS. Kedatangan rombongan ini disambut oleh Ahli Pengurusan PBI berserta staf pentadbiran. Sesi pertemuan ini juga turut disertai oleh Pengarah Pusat Islam UMK dan pasukan beliau. Perbincangan selama hampir 2 jam menyentuh tentang penawaran kursus umum universiti khasnya kursus Penghayatan Etika dan Peradaban yang baharu diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT untuk dilaksanakan di Universiti Awam, IPTS dan Politeknik. Selain itu, perkongsian kedua-dua belah pihak juga berkisar mengenai kursus bahasa Inggeris, kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian serta kaedah pentaksiran. Pusat Islam UMK juga turut berkongsi mengenai program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun 2020 bagi meningkatkan kesedaran dan penghayatan agama dalam kalangan pelajar dan staf UMK. Sesi pertemuan diakhiri dengan beberapa resolusi dalam bentuk tindakan susulan yang akan dilaksanakan bagi mengukuhkan kerjasama yang dijalinkan ini.